Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, kelab keempat terbaik Liga Perdana Thailand 2009 itu turut akan mengundang pemain luar termasuk kemungkinan beberapa pemain kebangsaannya untuk menghadapi anak buah K. Rajagobal.
"Perlawanan ini juga bersempena merayakan ulang tahun ke-50 penubuhan kelab itu," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
BEC Tero Sasana FC atau digelar The Fire Dragons, turut muncul juara Piala Jemputan Pegasus TSW, naib juara Piala Permaisuri dan Piala FA Thailand serta Piala Super 2009 malah memiliki pemain import dari Brazil, Ivory Coast dan Madagascar.
Inilah kali kedua Rajagobal dinafikan perlawanan persahabatan antarabangsa setelah Togo yang sepatutnya ditentang 3 Mac lalu dibatalkan dan ditukar kepada Albirex Niigata, kelab Jepun yang beraksi dalam Liga Singapura.
Ketika ini, skuad utama negara dibentuk kebanyakannya daripada pemain bawah 23 tahun yang mengakhiri kemarau pingat emas Malaysia selama dua dekad dalam Sukan SEA di Laos, Disember lalu.