Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Thursday, April 29, 2010

Kerja keras untuk ke Piala Dunia

Selagi bekerja keras dan sentiasa berprestasi konsisten, tidak mustahil kemaraan skuad negara ke pusingan akhir Piala Dunia dapat disaksikan beberapa tahun lagi.

Penyerang legenda Kelayakan Olimpik 1980, James Wong percaya Malaysia kini mampu memasang semula impian ke sana selepas anak buah K. Rajagobal mengakhiri kemarau emas 20 tahun pada Sukan SEA Laos, tahun lalu.

"Memang banyak rintangan dan perlu diingat menjadi juara Sukan SEA, tidak bererti anda sudah boleh berpuas hati. Bagaimana Sukan Asia, kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia?

"Saya melihat ada sedikit harapan untuk kita ke Piala Dunia (selepas menang emas Sukan SEA)," kata 'King James', penjaring gol kemenangan ke atas Korea Selatan yang melayakkan Malaysia ke Olimpik Moscow 1980.

Katanya, masih ada juga ciri lain yang perlu dimiliki sebuah pasukan yang berjaya seperti tempoh gandingan dan keserasian, sikap pemain apabila menyarung jersi negara dan semangat pantang menyerah di gelanggang.

Dia yang bagaimanapun pernah gagal dalam dua kelayakan Piala Dunia 1977 dan 1981 di Singapura dan Kuwait, ditemui pada majlis pengenalan produk telekomunikasi Piala Dunia Maxis di sini, semalam.

Bek tengah kelayakan Olimpik 1980, Santokh Singh turut sependapat James yang menyarankan supaya gandingan pemain negara sekarang dikekalkan dalam tempoh yang agak lama seperti mana skuad mereka ketika itu.

"Jangan asyik tukar pemain jika kalah. Untuk memantapkan sesebuah pasukan, kadang-kadang perlukan gandingan pemain sama sehingga lapan tahun,'' katanya.

Gandingan James, Hassan Sani berkata, pemain kebangsaan perlu memiliki sikap membuat kerja tambahan selain latihan harian.

"Dipilih mewakili negara mesti jadi kebanggaan seseorang pemain. Jangan mudah putus asa walaupun sentiasa diletakkan di bangku simpanan dan jangan sesekali fikirkan ganjaran apabila bermain," katanya.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails