ANDAI rekod pertemuan dijadikan ukuran, skuad bola sepak negara mungkin berdepan tugas sukar apabila bertemu Vietnam pada aksi kedua Kumpulan A temasya Sukan SEA XXV di Laos, Ahad ini.
Dalam empat pertemuan sejak 2001, skuad negara hanya menang sekali dengan Vietnam pada temasya dwitahunan itu manakala tiga lagi aksi memihak kepada pasukan lawan termasuk pertemuan terakhir di Korat dua tahun lepas.
Situasi tersebut mungkin agak membimbangkan, namun setelah membelasah Timor Leste 11-0 pada aksi pembukaan di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos kelmarin, ia pastinya menghadirkan sedikit kelegaan kepada skuad kendalian K. Rajagobal itu.
Bagi Rajagobal, kejayaan itu setidak-tidaknya melonjakkan kembali keyakinan anak-anak buahnya menjelang pertemuan dengan Vietnam nanti.
"Kita semua tahu bahawa Vietnam adalah penghalang utama kepada pemain kita untuk melangkah ke separuh akhir," kata Rajagobal semalam.
"Vietnam sudah lama menjadi pasukan pengacau kepada kita dalam temasya Sukan SEA dan kali ini, situasinya tidak banyak berubah.
"Begitupun, pemain kita berada dalam keadaan terbaik ketika ini dari segi fizikal dan juga mental. Kemenangan besar ke atas Timor Leste kelmarin sedikit sebanyak berjaya memberi suntikan psikologi kepada pemain muda kita.
"Saya harap mereka akan menampilkan persembahan lebih baik daripada apa yang mereka lakukan kelmarin," tambahnya lagi.
Menurut Rajagobal, beliau mahu anak-anak buahnya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pertemuan penting dengan Vietnam.
"Saya telah nasihati pemain supaya jangan mudah puas hati dan terus dibuai mimpi dengan kejayaan besar kelmarin, ini baru saja permulaan dan perjalanan masih jauh lagi.
|
|
"Pemain kita juga sedar akan perkara ini dan saya yakin mereka telah tetapkan matlamat dan tumpuan mereka terhadap perlawanan dengan Vietnam, Ahad ini.
"Saya yakin mereka sudah tidak sabar untuk berdepan pasukan lawan nanti," ujar Rajagobal lagi.
Skuad negara perlu menewaskan Vietnam sekiranya mahu menjamin tempat ke saingan separuh akhir seterusnya mencerahkan peluang memenangi pingat emas buat kali pertama sejak 20 tahun lalu di pentas Sukan SEA.
Namun, Vietnam juga bukan calang-calang pasukan kerana mereka telah banyak menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun ini dan turut mencatat kejutan dengan mengikat Thailand 1-1 pada aksi pembukaan kelmarin.